Kembar Perodua Alza, Daihatsu Xenia hanya terima 3-Bintang dalam ujian keselamatan ASEAN NCAP

Kembar Perodua Alza, Daihatsu Xenia hanya terima 3-Bintang dalam ujian keselamatan ASEAN NCAP

Ketika Perodua Alza 2022 dilancarkan Julai tahun lalu MPV berkenaan telahpun diumumkan menerima pengiktirafan lima-bintang dalam ujian pelanggaran keselamatan Penilaian Kereta Baharu untuk Asia Tenggara (ASEAN NCAP). Namun baru-baru ini ASEAN NCAP telah menguji kembar Alza untuk pasaran Indonesia iaitu Daihatsu Xenia, dan model berkenaan hanya menerima pengiktirafan tiga-bintang.

Menurut ASEAN NCAP, Xenia merupakan model pertama Daihatsu yang diuji oleh badan berkenaan. Ia menerima markah lebih rendah kerana varian asas MPV ini diberikan perincian keselamatan yang lebih rendah dari Alza.

Seperti biasa, markah keseluruhan ujian ASEAN NCAP ini manggabungkan empat aspek penilaian di bawah protokol 2021-2015, dan Xenia menerima 32.63 markah untuk Pelindungan Penumpang Dewasa (AOP), 14.37 markah untuk Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP) 10.00 markah untuk Bantuan Keselamatan (SA) dan 7.50 markah untuk Keselamatan Penunggang Motorsikal (MS).

ASEAN NCAP menyatakan bahawa varian asas Daihatsu Xenia ini hanya ditawarkan dengan dua-beg udara manakala varian tertinggi diberikan enam-beg udara. Sebagai perbandingan, Perodua Alza diberikan enam-beg udara untuk semua varian yang dijual di Malaysia.

Xenia juga datang standard dengan sistem brek anti-kunci (ABS), sistem pengingat pemakaian tali pinggang keledar (SBR) hanya untuk pemandu dan juga teknologi Perlindungan Pejalan Kaki untuk semua varian. Manakala sistem kestabilan elektronik (ESC) pula hanya ditawarkan pada varian 1.3L CVT dan semua varian yang dijana enjin 1.5L, berbanding Alza yang menerima sistem ini juga pada semua varian.

Daihatsu juga menawarkan teknologi bantuan pemanduan sebagai ciri opsyen, yang terdiri dari sistem Brek Kecemasan Automatik (AEB) untuk bandar, AEB antara bandar, Bantuan Kekal Lorong (LKA), Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Amaran Keluar Lorong (LDW) dan Pengesan Titik Buta (BSD).

“Walaupun Xenia mempamerkan keputusan yang baik dalam membekalkan perlindungan semasa kemalangan, kelengkapan peralatan keselamatan aktif masih perlu dipertingkatkan. Namun begitu, Daihatsu terus berusaha dengan menyediakan pilihan kepada pelanggan untuk memilih model varian yang lebih tinggi. Tahniah kepada Daihatsu yang meletakkan inisiatif sebegini demi meningkatkan keselamatan jalan raya,” kata ASEAN NCAP dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Paul Tan's Automotive News

#Kembar #Perodua #Alza #Daihatsu #Xenia #hanya #terima #3Bintang #dalam #ujian #keselamatan #ASEAN #NCAP

Back To Top