Jualan Perodua naik 13.6% untuk separa pertama 2023; 144,690 unit terjual, Bezza model paling laris

Jualan Perodua naik 13.6% untuk separa pertama 2023; 144,690 unit terjual, Bezza model paling laris

Perodua mengumumkan bahawa ia berjaya menjual sebanyak 144,690 unit kenderaan untuk enam bulan pertama 2023. Angka berkenaan dilihat naik 13.6% berbanding tempoh sama tahun lalu dengan jualan sebanyak 127,343 unit kenderaan dari Januari sehingga Jun 2022.

Angka jualan tersebut dicapai menerusi produksi kenderaan yang dihasilkan Perodua yang mencecah 153,813 unit pada separa pertama tahun ini, naik 17% berbanding 131,641 unit yang dihasilkan dalam tempoh sama pada 2022.

Dari angka jualan keseluruhan berkenaan, Bezza menjadi model paling laris Perodua dengan jumlah 40,555 unit berjaya didaftarkan sepanjang enam bulan pertama tahun ini. Ia diikuti Perodua Myvi sebanyak 32,319 unit dan Perodua Axia sebanyak 28,199 unit.

“Prestasi pengeluaran dan jualan yang lebih tinggi pada separuh pertama 2023 disumbangkan oleh bekalan komponen yang mencukupi serta peningkatan kecekapan pengeluaran di kilang kami,” kata Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

Menurutnya Perodua kini berada di landasan yang betul untuk memenuhi sasaran pengeluaran sebanyak 330,000 unit dan sasaran jualan sebanyak 314,000 unit yang telah ditetapkan untuk 2023 dengan kecekapan operasi yang bakal ditambah baik.

“Antara penambahbaikan ketara yang kami lakukan termasuk catatan ‘tact time’ yang lebih pantas (masa yang diperlukan untuk menghasilkan sebuah kenderaan) daripada 1.35 minit kepada 1.25 minit di kilang Perodua Global Manufacturing (PGMSB) kami,” kata Zainal.

Jualan Perodua naik 13.6% untuk separa pertama 2023; 144,690 unit terjual, Bezza model paling laris

Untuk suku kedua 2023, Perodua berjaya memprodukasi sebanyak 69,013 kenderaan, naik 1% berbanding 68,316 unit yang dihasilkan pada suku kedua 2022. Zainal menjelaskan bahawa peningkatan tersebut sebahagian besarnya disumbangkan oleh usaha syarikat berkenaan dalam memenuhi tempahan di bawah inisiatif Penjana.

“Kami menjangkakan kedua-dua pengeluaran dan jualan kami pada masa akan datang terus meningkat berikutan permintaan untuk kenderaan kami kekal kukuh,” tambahnya lagi.

Beliau turut menyatakan walaupun tempahan sedia ada amat menggalakkan, terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi, antaranya kos pembiayaan yang lebih tinggi dan kekurangan bekalan yang mungkin berlaku secara berkala.

“Walaupun begitu, kami masih teguh dengan sasaran kami, dan kami berterima kasih kepada para pelanggan yang dihargai atas sokongan dan kesabaran mereka. Keutamaan kami adalah untuk terus mengurangkan masa menunggu para pelanggan serta meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan kami.

“Kami juga berterima kasih kepada Bank Negara Malaysia kerana mengekalkan Kadar Dasar Semalaman pada 3% kerana ini akan membantu mengurangkan kos pembiayaan para pelanggan kami yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah,” kata Zainal.

Paul Tan's Automotive News

#Jualan #Perodua #naik #untuk #separa #pertama #unit #terjual #Bezza #model #paling #laris

Back To Top