Chery Omoda 5 dilancar di Malaysia – bermula RM109k, CKD, 1.5L Turbo berkuasa 156 hp/230Nm

Chery Omoda 5 dilancar di Malaysia – bermula RM109k, CKD, 1.5L Turbo  berkuasa 156 hp/230Nm

Serentak dengan pelancaran Tiggo 8 Pro hari ini, Chery turut melancarkan sekali SUV segmen-B Omoda 5 sebagai dua model awalannya untuk kembali semula ke pasaran Malaysia. Model ini hadir hanya dalam dua varian, dijual pada harga bermula RM108,800 untuk varian asas Omada 5 C dan RM118,800 untuk varian tertinggi Omoda 5 H.

Harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran. Sama seperti Tiggo 8 Pro, Omoda 5 pasaran Malaysia ini turut dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD). Ia dilindungi waranti pengeluar selama tujuh tahun atau 150,000 km yang mana sampai dulu, serta ditawarkan dengan servis percuma selama lima tahun (secara berselang-seli, hanya untuk kos buruh).

Bagi 3,000 pelanggan terawal, Chery Malaysia turut akan memberikan waranti tambahan untuk enjin selama 10 tahun atau 1 juta km yang mana sampai dulu. Untuk pelanggan selepas itu, waranti enjin yang diberikan adalah sama dengan waranti kenderaan iaitu 7 tahun/150,000 km. Namun pelanggan yang mahukan waranti enjin 10 tahun/1 juta km berkenaan boleh membelinya dengan bayaran tambahan RM2,000.

Omoda 5 akan berhadapan terus dengan dua SUV segmen-B yang menguasai pasaran Malaysia sekarang iaitu Proton X50 dan Honda HR-V. Ia menampilkan dimensi 4,400 mm panjang, 1,830 mm lebar, 1,585 mm tinggi serta jarak roda sejauh 2,630 mm.

Chery Omoda 5 dilancar di Malaysia – bermula RM109k, CKD, 1.5L Turbo  berkuasa 156 hp/230Nm

Sebagai perbandingan, Honda HR-V dihasilkan dengan ukuran 4,385 mm panjang, 1,790 mm lebar, 1,590 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,610 mm. Sementara Proton X50 pula dengan ukuran 4,330 mm panjang, 1,800 mm lebar, 1,609 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,600 mm.

Jadi antara tiga model ini Omoda 5 adalah yang paling panjang, paling lebar tetapi dengan ketinggian paling rendah bagi memberikan bentuk badan yang sporty. Omoda 5 juga menampilkan jarak roda paling jauh antara tiga SUV segmen-B ini.

Sama seperti HR-V dan X50, SUV dari Chery ini juga dijana oleh enjin 1.5 liter dengan pengecas turbo. Unit empat silinder berkenaan menghasilkan kuasa 156 hp dan tork maksima 230 Nm. Kuasa dialirkan sepenuhnya ke roda hadapan menerusi kotak gear CVT automatik yang diberikan sembilan kelajuan maya.

Chery Omoda 5 dilancar di Malaysia – bermula RM109k, CKD, 1.5L Turbo  berkuasa 156 hp/230Nm

Omoda 5 juga tampil dengan rekaan yang begitu futuristik yang tiada kaitan langsung dengan model-model Chery sebelum ini. Ia direka dengan falsafah rekaan baharu Art in Motion oleh Chery, menampilkn gril depan yang besar tanpa bingkai, bersepadu dengan lampu nyalaan siang LED tirus.

Lampu hadapan LED utama pula diletak pada bampar hadapan yang disusun menegak bersama lampu kabus. Manakala di belakang ia diberikan rekaan lampu LED ala-boomerang yang merentangi sepenuhnya pintu tailgate. Bampar belakang diberikan panel bawah ala-skid plate, dan menampilkan perumah tip ekzos palsu berkembar kemasan krom di atasnya (tip ekzos sebenar menghala ke bawah disorok di belakang bampar).

Kedua-dua varian menerima rim aloi 18-inci dalam kemasan hitam dan dibalut tayar GitiComfort F50 215/55R18. Namun untuk varian H, ia turut menerima serlahan merah pada rim bagi membezakan ia dengan varian C. Ciri tambahan lain yang hanya dipadankan pada Omoda 5 H adalah cermin suria elektrik, ‘upacara selamat datang’ pada lampu hadapan dan belakang dan juga lampu isyarat membelok LED jenis sequential.

Dalam kabin, kedua-dua varian Omoda 5 menerima papan pemuka yang menampilkan skrin berkembar masing-masing bersaiz 10.25-inci, satu sebagai paparan instrumen digital sepenuhnya untuk pemandu dan satu lagi untuk sistem infotainmen. Skrin berkenaan turut menyokong hubungn Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar serta menampilkan fungsi arahan suara.

Liang penghembus pendingin udara direka merentangi sepenuhnya papan pemuka tersebut, dan sistem berkenaan dikawal menggunakan butang kawalan sentuhan yang terletak di bawah liang udara tengah. Konsol terowong pula dihubungkan ke papan pemuka menerusi bahagian ruang pengecas telefon tanpa wayar.

Konsol berkenaan turut menempatkan tuil gear, brek parkir elektronik (dengan Auto Hold), pemegang cawan, suis putar serta butang-butang untuk kamera pemantau sekeliling, mod pemanduan, dan lampu isyarat kecemasan. Satu lagi ruang tersorok disediakan pada bahagian bawah yang turut menempatkan slot USB dan port 12V.

Bagi varian C, ia datang standard dengan upholsteri separa kulit sintetik, pendingin hawa automatik dua zon, ruang storan pada perehat tangan hadapan yang diberi sistem penyejuk, lampu suasana kabin 64-warna, port USB dan port pengecas pantas di hadapan, port USB di baris kedua serta port kuasa 12 volt pada ruang but belakang.

Ia juga datang standard dengan sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin dan fungsi penghidup jarak jauh, cermin hadapan akustik, kamera undur, pemanas cermin sisi, cermin pandang belakang auto-malap, serta enam pembesar suara.

Untuk varian tertinggi H juga ia menerima tingkat taraf seperti upholsteri kulit sintetik sepenuhnya, tempat duduk pemandu larasan kuasa enam hala, tempat duduk hadapan berliang, lampu selamat datang, kamera pemantau 360 darjah dan juga bantuan kuasa untuk pintu tailgate belakang.

But belakang SUV ini menampilkan ruang storan berkapasiti 360 liter termasuk ruang simpanan yang terletak di bawah lantai. Jika anda perlukan ruang lebih luas, tempat duduk belakang boleh dilipat bagi memberikan ruang storan berkapasiti 1,075 liter. Ia juga diberikan penutup tonneau mudah alih serta tayar gantian bersaiz kecil.

Manakala untuk sistem keselamatan, Omoda 5 pasaran Malaysia ini dibekalkan dengan enam beg udara bantuan mula mendaki, pemantau tekanan angin tayar dan bantuan menurun cerun sebagai ciri standard.

Kedua-dua varian juga menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan fungsi brek kecemasan automatik, amaran pelanggaran hadapan, bantuan kekal lorong, cruise control adaptif bersama bantuan melayar pintar, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang dan lampu tinggi automatik.

Untuk pembeli Chery Omoda 5 C, ia hanya ditawarkan dalam tiga warna badan iaitu Khaki White, Dark Black dan Phantom Grey. Untuk varian H pula, ketiga-tiga warna tersebut diberikan tambahan serlahan-serlahan merah. Varian tetinggi ini turut ditawarkan dengan tema warna dua tona (bumbung hitam) dan serlahan merah tetapi hanya untuk warna badan Khaki White.

GALERI: Chery Omoda 5 H 2023

Paul Tan's Automotive News

#Chery #Omoda #dilancar #Malaysia #bermula #RM109k #CKD #1.5L #Turbo #berkuasa #hp230Nm

Back To Top